Header Ads Widget

Nak Jadi Ejen Hartanah Dan Jana RM 10,000 Sebulan?

Anda boleh jadi ejen hartanah berjaya. Sepanjang berada dalam industri ini, saya yakin sesiapa sahaja boleh berjaya. Cuma anda mesti dapatkan nasihat yang betul dan jalan yang betul. Selepas anda ikuti, anda akan dapat gambaran awal macam mana cara nak menjadi ejen hartanah berjaya dan jana sekurang-sekurangnya RM10,000 sebulan.

Pernahkah anda terfikir untuk capai hidup glamer dan serba mewah, seperti yang terdapat dalam industri hartanah? Kalau diikutkan ramai sebenarnya yang teringin untuk menjadi ejen hartanah.

Setiap orang yang mulakan kerjaya ni, ceritanya berbeza. Sesetengah kita keadaannya baik, ada kerja dan pendapatan. Sebahagian dalam keadaan getir dan kewangan mereka tak stabil. Kita semua mencari peluang. Tapi tak kira macam mana permulaan anda, anda kena sentiasa ingat pesan saya.......

Lebih-lebih lagi apabila melihat imej-imej seperti ejen yang memandu Ferrari, memakai pakaian mahal seperti Armani, dan dapat menjual rumah mewah pada harga berjuta-juta Ringgit, yang pastinya boleh membuatkan ramai terpedaya!

Sebenarnya, untuk mendapatkan lesen ejen hartanah (REA) tu bukanlah semudah yang disangka – bak kata orang “bukan senang nak senang”.

Oleh itu, tak kiralah anda nak namakannya ejen hartanah, ejen jual rumah, ejen sewa, ejen jual atau sebagainya. Kenyataannya untuk memasuki alam pekerjaan dalam dunia hartanah ni memang memerlukan anda bekerja keras.

Jadi, kami sediakan panduan ini untuk membantu anda menerokai prosesnya dengan mudah!


Target Permulaan Anda RM 30,000 Sebulan

Masa saya bermula sebagai ejen hartanah, soalan pertama coach saya tanya.. “Berapa income yang kamu nak sebulan?”

Saya sebut RM 500. Coach saya gelak dan bagi nasihat…


“MK, jangan target RM500. Target SIKIT akan hasilkan tindakan yang LEMAU.

Awalnya saya buat tak endah, tapi realiti bulan berganti bulan saya tak ada jualan. Dan agensi bagi amaran nak buang saya. Nak tahu lebih lanjut cerita ni saya akan sambung di hujung artikel nanti....

Apa pun…

Ramai yang masuk ke bidang hartanah tak ada matlamat yang jelas.

Kalau anda nak sertai bidang hartanah ni, cari coach yang boleh bawak  menuju ke puncak kejayaan paling penting tanamkan azam dan matlamat yang besar.



Paling penting, tindakan anda terhasil dari matlamat yang besar.

Bagi saya, RM10,000 sebulan adalah realistik untuk capai dalam masa 6 bulan ke setahun. Ianya tak mustahil dan saya akan terangkan macam mana.

Cuma sebelum kita pergi ke situ, anda kena tahu dulu…

Cara Buat Duit Dengan Kerjaya Hartanah!

1) Komisyen Jualan / Sewaan

Kerja ejen hartanah boleh bagi pendapatan yang besar. Tarikan utama kenapa ramai yang tertarik dengan kerjaya hartanah.

Sebagai ejen hartanah, tugas kita adalah memastikan jual beli sewa refinance hartanah berjaya. Bila berjaya, kita dapat komisen jualan yang mana dikira dari harga hartanah tersebut.

Contoh: jual satu unit rumah berharga RM500,000 dan komisyen pula ialah 3% (ini komisyen standard pasaran di Malaysia). Ini bersamaan RM15,000.

Daripada RM15,000 ini anda akan kongsi dengan agensi. Nisbah perkongsian ini bergantung kepada senioriti. Katakan anda layak terima 60% daripada jumlah komisyen tersebut, pendapatan anda ialah RM9,000.

Besar kan? Itu pun baru satu jualan. Bayangkan kalau jual 2-3 kes sebulan.

Tapi komisen bukanlah satu-satunya pendapatan yang anda boleh buat dari kerjaya ni…

2) Pendapatan EXTRA Ejen Hartanah

Anda juga boleh dapat pendapatan sampingan. Dan pendapatan sampingan ni bukan sikit.

Dalam belian atau jualan rumah, pembeli dan penjual bukan setakat perlukan khidmat ejen hartanah. Mereka juga mungkin perlukan:

  • Peguam
  • Internet
  • Lesen Perniagaan
  • Kontraktor untuk ubahsuai
  • Servis untuk untuk baik pulih atau selenggara rumah
  • Alat sekuriti dan kawalan serangga

Kita boleh kenalkan mereka dengan pembekal servis yang kita yakin boleh buat kerja. Biasanya pembekal servis ni akan tawarkan kita referral fee.

Kalau seorang tu aktif dalam jual beli, dia boleh terima sekitar RM3,000 ke RM4,000 sebulan daripada referral fee sahaja.

Kita juga ada advantage yang orang lain tak ada…

Kita adalah orang yang paling dekat dengan pasaran hartanah dan tahu peluang pelaburan lebih awal berbanding orang lain.

Setengah ejen hartanah dia gunakan peluang kerjaya ni untuk melabur. Dan kebanyakan mereka adalah pelabur hartanah yang berjaya.

Jadi anda nampak sekarang potensi kerjaya ni? Tunggu dulu. Itu bukan semuanya. Jom saya jelaskan mengenai…

Kelebihan Menjadi Ejen Hartanah

1) Potensi Pendapatan Lumayan

Saya dah terangkan kat atas tentang pendapatan seorang ejen hartanah. Dalam bidang ini bukan perkara pelik sebenarnya, seorang tu boleh dapat RM10,000 ke RM100,000 sebulan. Selain daripada komisen, dia juga boleh dapat pendapatan sampingan lain dan boleh jadi seorang pelabur hartanah yang berjaya.

2) Ejen Hartanah Ini Mencabar Tapi Tidak Terlalu Susah

Saya nak tekankan dekat sini, peluang untuk berjaya dalam hartanah ni lebih mudah berbanding kerjaya lain. Ini kerana jalan yang agak jelas: kalau kita pasarkan listing yang boleh BOOMS, kita akan ada jualan. Peranan bila closing sangat besar tapi listing yang BOOMS akan terjual dengan sendiri.

Kadang-kadang walaupun seorang tu tak mahir dalam closing, pendiam dan tak pandai mulakan percakapan, dia masih boleh buat jualan konsisten kerana dia berjaya dapat listing yang BOOMS dan dia bertindak.

Saya taklah kata kerja ni sangat mudah. Bila klien minta kita urus jual beli hartanah, ianya adalah amanah yang besar. Kalau kita berjaya bantu, ini sekaligus akan berikan kita rasa 😍

3) Kepuasan Kerja

Kebanyakan orang biasa hanya jual atau beli rumah sekali atau dua kali seumur hidup. Keputusan nak jual beli rumah ni adalah keputusan yang sangat penting.

Klien mungkin beli rumah pertama, atau dia jual rumah kerana nak beli rumah baru. Ada yang lebih serius. Nak beli rumah untuk mak ayah. Atau jual kerana masalah kewangan.

Dalam kata pendek, jual beli hartanah melibatkan impian jangka panjang. Dan tugas kita untuk penuhi impian klien.

Bila kita beri khidmat nasihat yang betul dan kita berjaya bantu mereka, ianya adalah satu kepuasan yang tak dapat kita beli dengan wang ringgit.

4) Masa Fleksibel

Kita juga ada masa yang fleksibel dan kita boleh tentukan sendiri masa kerja kita. Kita akan ada lebih waktu untuk keluarga dan anak-anak.

5) Modal Rendah

Selain itu, modal kerja bidang ni juga secara relatif, lebih rendah berbanding kita cuba kerjaya atau bisnes lain. Paling minimum, kita hanya perlu bayar kursus perunding hartanah, yuran penyertaan agensi dan ada modal sikit untuk jalankan kerja.

6) Kawal Masa Depan

Dan yang paling penting sekali, kita boleh tentukan hala tuju karier kita. Bukan lagi bos atau majikan. Kita bertanggungjawab sepenuhnya dekat mana kita satu hari nanti. Kalau usaha sungguh-sungguh, Kita akan berjaya. Kalau malas, kita gagal.

Best kan kerja ni? Tak juga. Apa jua kerja sekalipun dah tentu ada cabaran dia. Saya akan terangkan yang ni nanti. Tapi sebelum tu, jom saya kongsikan macam mana….

Tugas Ejen Hartanah

1) Dapatkan Lead Penjual

Sebagai perunding hartanah, kita beri khidmat kepada dua jenis pelanggan iaitu pemilik dan pembeli hartanah.

Dalam kata pendek, kita dapatkan hartanah untuk kita jual dari pemilik, ini kita panggil sebagai listing, dan dapatkan pembeli untuk listing tu. Bunyi macam mudah, tapi langkah kerja ni ada banyak.

Pertama sekali kita buat kerja untuk dapatkan listing. Kerja ni kita panggil prospecting yang mana kita cari pemilik yang berminat nak jual rumah dan guna khidmat agensi kita.

2) Buat Analisis

Bila kita dah dapat pemilik yang berminat untuk guna servis kita, semak hartanah mereka untuk pastikan rumah tersebut kompetitif untuk kita pasarkan. Kemudian, kita sampaikan analisis kita kepada pemilik dan beri nasihat supaya rumah boleh terjual.

3) Inspection

Bila pemilik setuju, buat temu janji dengan mereka untuk periksa keadaan hartanah. Langkah ini kita panggil sebagai inspection.

Semasa inspection,bina hubungan dengan pemilik dan terangkan proses jualan rumah kepada mereka.

Kita juga ambil gambar rumah dan kaji keadaan hartanah mereka. Kita beri nasihat yang patut supaya rumah boleh terjual. Di akhir inspection, dapatkan lantikan jualan dari pemilik.

4) Iklankan Listing

Tugas seterusnya untuk memasarkan hartanah, biasanya dekat medium pemasaran online macam Mudah.my. Iklan tu juga kita pantau supaya bakal pembeli boleh jumpa kalau mereka cari.

Bila ada pembeli hubungi, bina hubungan dengan pembeli dan saring mereka. Dekat sini kita nak pastikan pembeli ada motivasi dan dah bersedia untuk beli rumah. Kemudian, buat temujanji untuk pembeli tengok rumah.

5) Viewing Dan Closing

Semasa viewing, bina hubungan baik dengan bakal pembeli dan teman mereka untuk tinjau keadaan rumah. Kita juga akan yakinkan mereka kenapa listing tersebut sesuai dengan mereka.

Kalau pembeli berminat, kita jalankan proses rundingan dengan pemilik. Setelah berjaya, pembeli dan penjual akan tandatangan borang tempahan. Pembeli akan bayar wang tempahan kepada agensi kita pada tahap ni. Wang inilah yang akan jadi komisen kita kalau jual beli selesai.

6) Pinjaman Dan Guaman

Selepas tu, kita bantu pembeli tu untuk dapatkan pinjaman dan khidmat guaman. Setelah pinjaman lulus, pembeli dan penjual akan tandatangan perjanjian jual beli.

Bila habis proses inilah baru kita dapat tuntut komisen kita dari agensi.

Panjangkan proses ni? Setiap proses ni pun ada cabaran tersendiri. Sebab tu lah pendapatan yang kita dapat dari kerjaya ni berbaloi. Ok, anda dah tahu sedikit sebanyak, sekarang jom kita bincang tentang…


Nak Menjadi Ejen Hartanah

1)Syarat Dan Kelayakan

Bila seseorang tu nak ceburi bidang ini, dia mestilah:

  • Berumur 18 tahun ke atas
  • Tak bankrap
  • Hadir kursus yang LPPEH anjurkan
  • Buat sepenuh masa (ada sesetengah agensi benarkan kalau anda nak buat part time).

Syarat ni tak ketat pun. Anda tak perlu ada kelayakan yang tinggi.

2) Boleh ke Buat Part Time

Ada sesetengah agensi benarkan anda buat patut-time. Kalau kerja hakiki anda fleksibel dan tak ikut waktu pejabat, anda boleh berjaya sebagai perunding hartanah.

Tapi kalau kerja utama tu ikut waktu tetap, misalnya dari 8 pagi ke 5 petang, jalannya agak sukar. Walaupun ada ejen berjaya yang masih bekerja, tetapi tak ramai.

Bila ada kerja tetap, kita susah nak layan klien yang hubungi kita tak kira waktu.

Hari Sabtu dan Ahad, akan penuh dengan aktiviti viewing dan inspection. Isnin ke Jumaat pula, dengan aktiviti prospecting, iklan dan juga follow up.

Akhirnya, kerjaya ni akan jadi macam full-time.

Saya cadangkan anda buat sepenuh masa. Namun begitu, anda lebih tahu diri anda macam mana. Kalau anda rasa boleh buat part-time, teruskan. Bukan tak ada yang berjaya. Ada.

4) Bincang Dengan Keluarga

Bila nak buat keputusan untuk masuk ke bidang ni, perkara pertama yang anda kena buat ialah bincang dengan pasangan dan keluarga. Keputusan ni keputusan besar.

Yakinkan keluarga dan orang terdekat supaya anda dapat sokongan moral. Ini sangat penting kerana anda pasti akan berdepan cabaran bila masuk bidang ni nanti. Dengan sokongan ahli keluarga, jalan kita nak atasi cabaran dan berjaya tu lebih mudah.

5) Trim Bajet Bulanan Anda

Seterusnya anda kena buat persediaan kewangan. Sebelum masuk ke bidang ni, saya nasihatkan anda semak bajet bulanan.

Ini supaya belanja bulanan kita tu minimum supaya kita mampu bertahan. Sehinggalah kita terima komisen yang pertama.

6) Sediakan Modal

Untuk menjadi ejen hartanah ni juga kena ada modal. Anda kena sediakan wang untuk perkara berikut:

  • Yuran penyertaan Kursus Perunding Hartanah yang dianjurkan oleh Lembaga Penilai Pentaksi Dan Ejen Hartanah – RM650
  • Yuran penyertaan agensi – sekitar RM200
  • Kos untuk jalankan aktiviti, termasuk kos perjalanan dan marketing untuk hartanah yang anda jual – sekitar RM1,000 – RM2,000 memadai untuk permulaan.

Tinggi ke modal permulaan ni? Tak tinggi sebenarnya kalau anda bandingkan dengan bisnes lain.

Tapi kalau anda tak dapat sediakan jumlah yang saya sebut ni, ada satu cara lagi yang anda boleh buat. Bila anda sertai bidang ni, buat sewa rumah terlebih dahulu.

Biasanya untuk sewa, kes tu boleh selesai sekitar seminggu ke dua minggu setelah anda iklan dan dapat penyewa yang berminat.

Dengan cara ni anda boleh pusing modal anda semula sementara nak stabilkan kewangan pada peringkat permulaan.

7) Sediakan Kelengkapan

Satu lagi perkara yang anda kena sediakan ialah kelengkapan. Kelengkapan minimum yang mesti ada ialah:

  • Kenderaan
  • Komputer atau laptop
  • Telefon bimbit
  • Kad bisnes
  • Banner

Kad bisnes dan banner tu agensi akan sediakan dan biasanya termasuk dalam yuran pendaftaran agensi.

8) Daftar Dengan Agensi Hartanah

Setelah persediaan rapi, cari dan sertai agensi yang berdekatan. Tapi agensi hartanah ni ada banyak. Kalau anda nak berjaya, anda patut sertai agensi yang ada ciri berikut:

  • Latihan: Agensi yang baik akan selalu beri latihan kepada perunding hartanah mereka. Ini sangat penting untuk berjaya.
  • Bilangan perunding hartanah: Bilangan ejen yang ramai memudahkan anda untuk bekerjasama dan berikan peluang untuk dapatkan listing d.
  • Team leader: Anda juga perlu tahu, ada tak team leader yang akan kawal selia. Dia akan jadi mentor anda.
  • Kerja berpasukan: Sertai agensi yang buat kerja berpasukan. Anda boleh nilai perkara ni melalui media sosial.
  • Agensi berlesen: Semak lesen agensi di laman web LPPEH dan pastikan mereka adalah agensi yang berdaftar.

Anda juga patut pertimbang siapa team leader anda nanti. Ramai yang gagal dalam bidang ni, mereka tersilap masuk agensi atau berada di bawah team leader yang lemah.

9) Hadir Ke Kursus Perunding Hartanah

Semua perunding hartanah wajib hadir kursus yang Lembaga Penilai, Pentaksir Dan Ejen Hartanah anjurkan. Anda boleh hubungi Malaysian Institute of Estate Agents untuk sertai kursus ni.

Setelah tamat kursus, anda akan dapat sijil. Serahkan salinan sijil ni kepada agensi dan mereka kemudian akan daftarkan anda ke LPPEH.

10) Suai kenal Dengan Agensi Dan Pasukan

Seterusnya, luangkan masa untuk belajar tentang proses dan prosedur agensi. Anda juga perlu jumpa team leader dan kenal ahli kumpulan. Kalau agensi ada sediakan latihan untuk ejen baru, bagi saya, anda wajib sertai.

Walaupun anda dah hadir kursus, kursus tu sebenarnya lebih kepada teori. Untuk latihan yang lebih praktikal, belajarlah dengan mereka yang senior di agensi.

Anda masih bersama saya? Sekarang tiba masa saya nak terangkan tentang…

Cabaran Menjadi Ejen Hartanah

Sebelum saya terangkan lanjut, saya nak bagi nasihat. Jangan takut dengan semua cabaran ni. Ramai yang dah berjaya. Kalau mereka boleh, anda pun boleh.

Dalam bidang perunding hartanah, cabaran utama yang anda akan hadapi ialah…

1) Rejection

Dalam bidang ni anda kena cekal dan kuat semangat. Ini kerana anda pasti akan berdepan dengan banyak rejection daripada klien dan juga pemilik. Rejection ni pula boleh jadi dalam macam-macam cara dan ragam:

  • Klien view rumah tak jadi beli
  • Klien window shopping
  • Klien sailang ejen
  • Klien book rumah, tapi pinjaman tak lulus
  • Klien book rumah, tapi pemilik naikkan harga
  • Klien book rumah, pemilik tak jadi jual

Rejection akan kacau momentum perunding hartanah baru. Oleh sebab itu, kita mesti kata ‘Next!’ dan teruskan usaha tak kisah hari tu cerah atau mendung.

Kita mesti faham bahawa semakin banyak rejection kita terima, semakin dekat kita dengan jualan seterusnya.

2) Pendapatan Kita Tidak Konsisten

Kerjaya ejen hartanah ni juga ada naik turun. Ada bulan, jualan kita baik. Ada bulan, jualan biasa-biasa sahaja. Bulan lain mungkin tak ada jualan langsung.

Bila jualan tak menjadi, maka kita tak ada pendapatan. Kerja kita ni tak ada gaji.

Oleh sebab itu, pada bulan-bulan yang mana jualan kita baik, kita mesti uruskan kewangan dengan betul dan menyimpan.

Bila kita dah stabil sikit, dapatkan insuran hayat dan kesihatan untuk lindungi diri kita dan keluarga daripada musibah yang datang tiba-tiba.

Cabaran seterusnya ialah…

3) Susah Nak Dapatkan Listing Rumah Untuk Dijual

Ni keluhan yang saya selalu terima daripada ejen hartanah baru. Secara jujur, nak dapatkan listing ni taklah terlalu susah. Tapi nak dapat listing yang berkualiti, yang boleh terjual cepat, yang tu susah.

Nak dapatkan listing yang berkualiti ni bagi saya tak ada jalan pintas. Kita mesti buat kerja untuk dapatkan listing (prospecting) dengan konsisten.

Kalau kita sekejap buat, sekejap tak buat, maka kita tak akan dapat listing yang baik.

4) Pengetahuan Dan Pengalaman

Kurang pengetahuan dan pengalaman juga adalah satu cabaran. Bila anda terjun ke bidang ni, anda kena cepat-cepat belajar ilmu perunding hartanah.

Kalau kita tak ada kesungguhan menuntut ilmu, maka lambatlah kita buat jualan yang pertama. Lambatlah kita ada pendapatan dan kita mungkin tak dapat bertahan. Saya akan terangkan perkara ni lebih lanjut nanti.

Sekarang saya nak sentuh tentang…

Kenapa Ada Perunding Hartanah Gagal

Sepanjang pengalaman saya menguruskan agensi, berapa ramai ejen hartanah gagal kerana faktor berikut:

  • Tidak ada matlamat yang jelas: Kita mesti ada matlamat yang jelas dan besar dalam bidang ini. Barulah tindakan kita akan meyusul.
  • Tak fokus: Bila tak dapat beri tumpuan untuk jalankan aktiviti, seorang perunding hartanah tu akan gagal.
  • Tidak berdisiplin: Disiplin adalah kunci. Terutama dalam aktiviti untuk cari dan iklankan listing.
  • Tak mahu belajar dan tak boleh diajar: Susah nak berjaya kalau tak mahu belajar dan tak ikut nasihat mereka yang lebih senior.
  • Tak dapat tunjuk ajar yang betul: Bila kita masuk ke bidang ni, kita kena ada strategi jualan yang betul. Kena tahu listing macam mana kita patut fokus, berapa bilangan listing dan harganya.
  • Ada circle yang salah: kalau kita ada masuk ke dalam pasukan atau bergaul dengan mereka yang negatif dan tak ada cita-cita nak buat jualan, kita pun akan terikut perangai yang sama.
  • Cepat putus asa: Kerjaya ini mencabar dan perlukan kesabaran. Tak ada kerjaya yang senang. Apatah lagi dalam bidang jualan.
  • Tak bertindak: banyak mana kita tahu tentang ilmu hartanah dan jualan, tak ada guna kalau kita tak bertindak.

Okay, kita selesai bab ni. Sekarang saya nak sambung tentang…



Pengalaman Saya Sebagai Perunding Hartanah

1) Apa Kita Buat Saat Kita Jatuh

Dalam dunia hartanah, jatuh itu pasti. Tapi macam mana kita bangkit membentuk jalan kita.

Saya mula sebagai perunding hartanah separuh masa sambil bekerja di seremban.

Tiga bulan tak ada jualan, banyak terima rejection, dan hampir kena buang agensi.

Saya kemudian nekad untuk buat betul-betul. Ramai yang remehkan tindakan saya. Dan jalan saya tidaklah senang.

2) Mencari Rentak

Alhamdulillah pada bulan keenam sebagai perunding hartanah, saya berjaya jual sebuah rumah. Ketika ni saya dah tak ada duit.

Berbekalkan komisen dari jualan tu lah saya bertahan dan dapat cover balik yang sebelum ni.

Saya tetapkan matlamat yang lebih besar. Jumpa orang yang lebih berjaya. Hari-hari kacau coach saya untuk tunjuk ajar.

Bulan ketujuh dan kelapan, saya buat enam jualan hartanah. Tetapi empat kes tak dapat teruskan kerana pelbagai masalah.

Kalau saya muhasabah balik, tiap cabaran yang datang sebenarnya berikan kita pengalaman. Dengan pengalaman itulah kita akan bantu klien kita di masa hadapan.

3) Mula Konsisten

Tahun kedua, saya lebih konsisten dan sekarang saya tulis blog ini untuk kongsikan pengalaman dan bantu lebih ramai orang.

Alhamdulillah rezeki saya murah lepas tu saya disenarai antara perunding hartanah terbaik di agensi dan dapat membeli rumah pertama saya.

Saya jauh sekali nak kata saya dah berjaya. Tetapi sekadar nak beri idea kepada anda, apa yang bakal anda tempuhi nanti.

4) Jangan Mengalah

Setiap perunding hartanah akan lalui jalan yang berbeza. Ada yang terus gagal dan sebahagian lagi terhantuk dulu, barulah mereka jumpa rentak.

Tetapi tak kira macam mana cabaran yang datang, jangan sekali kita putus asa. Bila kita mengalah, semuanya tamat.

Dalam bahagian seterusnya, saya akan kongsikan tentang apa yang anda perlu buat untuk jadi ejen hartanah berjaya. Spesifiknya kita akan bincang tentang…


Cara Buat RM10,000 Sebulan Sebagai Ejen Hartanah

1) Perancangan Jualan Untuk Dapat RM10,000 Sebulan

Saya dah terangkan kepada anda, pendapatan perunding hartanah ni adalah dari komisen jualan. Kalau anda jual rumah berharga RM500,000 dan kadar komisen 3%, total komisen ialah RM15,000. Jika nisbah perkongsian anda dengan agensi ialah 60%, anda akan terima RM9,000 (RM500,000 x 3% x 60%).

Kalau ikut pengalaman saya, untuk jana RM10,000, anda kena buat jualan sebanyak RM750,000 sebulan. Jualan RM750,000 tak semestinya satu hartanah.

Boleh jadi 2 ke 3 hartanah yang mana jumlah harganya bersamaan RM750,000. Kalau kadar komisen 3% dan nisbah perkongsiah 60%, anda akan terima komisen sebanyak RM13,500 (RM750,000 x 3% x 60%).

Daripada RM13,500 ini:

  • RM1,000 anda kena simpan untuk bayar zakat dan cukai bila tiba masa.
  • RM2,500 anda guna untuk kos operasi, macam kos pengiklanan, tol, petrol, makanan dan lain-lain.
  • Baki RM10,000 tu adalah pendapatan bersih anda.

2) Roadmap Untuk Dapat RM10,000 Sebulan

Bila kita nak dapatkan pendapatan sebanyak ni, ianya tidak mudah tetapi tak juga susah. Kalau anda cukup ciri-ciri yang saya terangkan ni, anda pasti boleh berjaya.

Pertama, anda kena kuasai ilmu asas. Ini termasuklah:

  • Peraturan kerjaya
  • Asas hartanah
  • Asas pembiayaan hartanah
  • Cara jalankan aktiviti sebagai perunding hartanah

Kesemua ilmu ini sangat penting untuk kita bantu klien. Kalau asas tak kukuh, seorang perunding hartanah tu mungkin tak dapat bertahan lama dalam industri.

Kedua, anda mesti ada visi, misi dan big why. Ini penting supaya kerja yang anda usahakan tu ada makna dan boleh berikan motivasi pada hari yang sukar.

Ketiga, sikap dan pegangan anda mesti betul. Anda mesti selalu positif dan ada disiplin diri untuk buat kerja yang sepatutnya setiap hari.

Kelima, anda mesti ada soft skills. Soft skill ni biasanya anda akan belajar melalui pengalaman uruskan kes-kes yang mencabar.

Dan keenam, yang paling penting sekali, anda kena ada strategi. Ini anda akan belajar dari senior anda.

Bila lengkap semua ni dan dia bertindak, secara realistik, dia boleh jana pendapatan sekitar RM10,000 ke RM30,000 sebulan.

Saya bincangkan tentang strategi lebih lanjut dalam bahagian kedua artikel ini. Jom ikuti!


Soalan Lazim

1) Dalam keadaan ekonomi yang mencabar sekarang, sesuai ke jadi ejen hartanah?

Sangat sesuai. Walaupun keadaan industri hartanah sekarang mencabar dengan bilangan perunding hartanah yang ramai dan juga lambakan hartanah, peluang tetap ada.

Pasaran hartanah pun lebih baik berbanding tahun-tahun awal selepas PKP.

2) Saya tinggal di luar Lembah Klang. Sesuai ke saya jadi ejen hartanah?

Sangat sesuai. Perunding hartanah di luar Lembah Klang tak ramai. Kebanyakan negeri lain juga tak ada masalah lambakan hartanah.

Bila kurang persaingan, maka peluang untuk berjaya tu lebih tinggi.

3) Kerja ejen hartanah ni sesuai ke untuk wanita?

Wanita selalu ada salah tanggapan bahawa bidang ini lebih sesuai untuk orang lelaki. Ya, memang kerjaya ejen hartanah ni ramai lelaki.

Tapi peluang untuk wanita berjaya saya rasa lebih tinggi kerana mereka ada sifat empathy, bijak mengurus masa dan biasanya lebih berdisiplin.

Dekat agensi saya sendiri, wanita lebih ramai catat carta jualan tertinggi pada setiap bulan.

Bukan bidang, tapi yang jadi penghalang ialah persepsi kita sebenarnya.

4) Umur saya ________, boleh ke saya berjaya?

Tak kira berapa umur anda, anda boleh sukses. Di agensi saya, ada yang berumur 18 tahun dan ada juga yang dah pencen. Orang muda ada semangat nak berjaya. Yang berumur pula sudah banyak pengalaman dan ada jaringan kenalan. Tiap orang ada keunikan yang mereka boleh bawa ke bidang ni insyaAllah.

5) Kerjaya ejen hartanah ni tak glemer la!

Salah tu. Saya tanya anda, kerjaya apa yang ada TV Show sendiri? Peguam, doktor, chef, detektif dan…ejen hartanah! Tak percaya boleh tengok TV Show Million Dollar Listing ni. Huhu.

Joke aside, memang ada dibelenggu persoalan ni. Terutama kalau kita ada status dan jawatan.

Ianya berbalik kepada diri kita. Adakah kita gembira dengan kerja sedia ada? Adakah dengan sertai bidang hartanah ni, kita dapat jumpa apa yang kita cari (masa, contohnya)?

Kalau ya, pedulikan semua persepsi orang. Kitalah corakkan hidup kita sendiri.

6) Boleh ke saya hadir kursus perunding hartanah LPPEH dulu dan baru sertai agensi.

Boleh, tapi saya tak galakkan. Ini kerana kursus ni bukan selalu diadakan. Kita mungkin kena tunggu berminggu-minggu baru dapat sertai.

Sebaliknya kalau sertai agensi dulu, anda terus boleh biasakan diri dengan agensi, pasukan dan pengurus anda. Mereka juga mungkin boleh berikan latihan praktikal. Ini akan jimatkan masa.

Kesimpulan

Saya harap artikel Cara Menjadi Ejen Hartanah ni sedikit sebanyak dapat bantu anda buat keputusan. Kalau anda dah bersedia, Call 011-5359 9092