https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/02/1057193/harga-rumah-melambung-sewa-meningkat
Oleh: Sri Ayu Kartika Amri
kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Peningkatan harga kediaman dan kadar sewa rumah di Lembah Klang amat membimbangkan rakyat terutama golongan muda yang baru menempuh alam pekerjaan.
Tahun ini menyaksikan segmen hartanah bagi harga kediaman dijangka meningkat sebanyak 9.95 peratus manakala kadar sewa naik kepada 9.57 peratus.
Rata-rata generasi muda melahirkan rasa kekecewaan berikutan kenaikan harga dan sewa kediaman, apatah lagi mereka yang baru mula bekerja ditawarkan gaji rendah walaupun memiliki ijazah.
Pekerja swasta, Muhammad Nawaliq Haziq Mohd Nasir Umur, 24 berkata, kenaikan harga dan sewa rumah akan membebankan golongan muda sepertinya.
"Sebagai seorang yang baru bekerja, gaji pertama diterima perlu dipecahkan bagi menampung kos sewa rumah, makanan, pengangkutan dan pelbagai tuntutan lain.
"Kediaman adalah keperluan asas kehidupan. Kenaikan ini sangat memberi tekanan berikutan golongan muda seperti kami turut perlu berdepan kenaikan kos sara hidup tinggi.
"Pada saya, langkah yang boleh diambil sebagai seorang yang baru mendapat pekerjaan adalah berkongsi menyewa bilik bersama rakan," katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, gaji yang diterima sekarang hanya cukup untuk membayar kos makan dan sewa rumah.
Dia berharap kerajaan dapat menyediakan lebih banyak insentif yang dapat membantu dari segi pengurangan kos sara hidup bagi lepasan graduan sepertinya.
Sementara itu pekerja sektor awam, Esther Stephen, 24, berasal dari Sabah berkata, dia masih belum mampu membeli kediaman sendiri dan terpaksa menjadi penyewa.
"Bukan semua orang mewarisi kekayaan keluarga. Kenaikan ini (harga rumah) bukan sahaja memberikan tekanan tetapi turut membebankan graduan. Tingkat permulaan gaji sudah pastinya rendah bagi kami.
"Pihak berkuasa dan komuniti perlu mengambil inisiatif mengurangkan isu kenaikan rumah dan menawarkan program bantuan kewangan seperti skim pinjaman atau bantuan tunai bagi membolehkan golongan muda menyewa rumah pada harga berpatutan.
"Diharapkan kerajaan juga dapat memberikan akses atau menawarkan rumah yang terjangkau harga," katanya.
Sementara itu, Mohd Zuhairy Abdul, 24, turut melahirkan kebimbangannya berhubung isu kenaikan harga dan sewa rumah sekaligus memberi tekanan kepadanya.
"Ini disebabkan sebahagian besar pendapatan perlu digunakan untuk perbelanjaan perumahan. Ini menyebabkan saya kekurangan dana untuk keperluan lain. Keadaan ini boleh mempengaruhi kestabilan kewangan bagi mereka yang baru memulakan kerjaya.
"Sudah pasti kenaikan ini menambah tekanan pada kos sara hidup golongan seperti kami dan mengurangkan dana yang tersedia untuk makanan, pengangkutan serta keperluan harian lainnya.
"Tambahan pula, kenaikan harga perumahan juga boleh mempengaruhi kestabilan kewangan individu dan masyarakat secara keseluruhan.
"Sekarang saya menyewa dan sejujurnya saya lebih memilih untuk menyewa rumah berbanding membeli kediaman kerana pertimbangan pelbagai faktor termasuk keadaan kewangan peribadi, pelan jangka panjang dan matlamat perumahan.
"Sewa rumah mungkin terasa lebih berbaloi dalam jangka pendek kerana tidak membabitkan komitmen jangka panjang dan beban faedah bank.
"Selain itu, kerajaan juga harus mewujudkan satu dasar baharu yang membantu pekerja baru seperti graduan dalam mendapatkan rumah Rahmah untuk tempoh satu ke tiga tahun supaya dapat menstabilkan ekonomi diri sebelum mendapatkan rumah ideal," katanya.
Baru-baru ini, hasil tinjauan pemain industri hartanah mendapati jangkaan unjuran kenaikan 9.95 peratus dalam harga kediaman dan kenaikan 9.57 peratus sewa rumah di negara ini bagi tempoh 12 bulan akan datang.
Bagi Kuala Lumpur dan Selangor, industri menjangkakan harga meningkat sebanyak 9.7 peratus dan sewa sebanyak 9.9 peratus.
